Kerajaan bersetuju untuk menambah pendaftaran pengundi secara automatik dan had umur calon pilihan raya dalam pindaan kepada Rang Undang-Undang Perlembagaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata sebelum ini bacaan pertama rang undang-undang berkenaan hanya memfokuskan kepada hak individu yang berumur 18 tahun untuk mengundi.

“Komitmen dalam pertemuan kita pagi tadi… pembangkang semua memberi pengakuan mereka akan sokong pindaan ini setelah ditambah pendaftaran automatik dan had umur untuk menjadi calon.

"Saya yakin, kita (Kerajaan) akan mendapat sokongan dua pertiga,“ katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Dr Mahathir bersama dengan beberapa pemimpin parti politik termasuk ketua blok pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) pada pagi tadi Parlimen.

Sementara itu, pada sidang media sama, Ismail Sabri berkata blok pembangkang akan menyokong pindaan itu apabila kerajaan komited untuk meminda bacaan pertama RUU tersebut.

“Oleh kerana pihak kerajaan telah pun bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh kita (pembangkang), pastinya pihak pembangkang akan menyokong usul pindaan Perlembagaan yang akan dibentangkan pada esok.

“Keseriusan pihak Kerajaan itu ditunjukkan hari ini apabila pihak Kerajaan menarik balik cadangan asal dan akan dibentangkan cadangan baharu esok,” katanya.

Bacaan pertama RUU Perlembagaan yang baharu dijadual akan dibentangkan esok, manakala bacaan kali kedua pada 16 Julai ini.