Kerajaan akan menambah Pusat Transformasi Komuniti (CTC) bergerak yang beroperasi menggunakan bas dalam meningkatkan tahap penyampaian kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata program tersebut yang memberi impak positif akan memfokuskan kepada masyarakat pedalaman kerana berupaya menjimatkan perbelanjaan rakyat.

"Salah satu program yang saya diberitahu sangat baik dari segi penerimaan adalah CTC bergerak terutama sekali di Sabah di mana kita menggunakan bas yg diubah suai dan kita memberi perkhidmatan di luar bandar dari satu tempat ke satu tempat.

"Ini menjimatkan perbelanjaan mereka ke bandar dan saya sudah minta supaya CTC bergerak ini ditambah supaya kita dapat beri perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang meminta perincian mengenai langkah kerajaan dalam merangka program berimpak tinggi menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan untuk penduduk luar bandar.

Jelas Najib, Pusat Transformasi Bandar (UTC) merupakan antara contoh terbaik penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat berfungsi sebagai pusat sehenti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta di bawah satu bumbung.

"Inisiatif UTC sangat unik memandangkan ia beroperasi menjangkau waktu operasi biasa, iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam, setiap hari termasuk hujung minggu.

"Berdasarkan perangkaan diterima, UTC setakat ini sudah memberi perkhidmatan kepada lebih 54 juta pengunjung sejak ia diwujudkan pada 2013," katanya.