Kerajaan teliti ujian kepantasan 5G sebelum dilaksana - Gobind

Kerajaan teliti ujian kepantasan 5G sebelum dilaksana - Gobind
GOBIND: Menerusi projek ini, kita akan mendapat maklumat berkaitan dengannya dan langkah serta hala tuju kita ke depan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Teknologi Mudah Alih Generasi ke-5 (5G) akan dilaksanakan di negara ini selepas kerajaan meneliti laporan ujian kepantasan 5G yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) penghujung tahun ini.

Demikian jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, yang turut menjelaskan bahawa laporan berkenaan akan dikaji dan diteliti dari pelbagai sudut termasuk kemudahan infrastruktur sedia ada.

“Ini menjadi tujuan kenapa kita adakan pameran ini (Pameran 5G). Kita melihat bagaimana (langkah) mengembangkan teknologi 5G di Malaysia, akan memperkasakan banyak industri pertanian dan sebagainya.
“Menerusi projek ini, kita akan mendapat maklumat berkaitan dengannya dan langkah serta hala tuju ke depan. Selepas ini, satu laporan akan dikeluarkan, sama ada kelemahan dan kekuatan pelaksanaan kerajaan dalam memastikan negara kita bersedia melangkah masuk 5G. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan lapor kepada kerajaan berhubung perkara ini,” jelas Gobind.

Meskipun terdapat kelemahan liputan di beberapa kawasan luar bandar ketika ini yang sedang diselesaikan, jelas Gobind, kerajaan juga perlu bersedia menerima teknologi baharu sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

Malah penggunaan 5G tambahnya, dijangka memberi impak positif kepada sektor industri di negara ini selain rakyat.

"Kita kena menerima hakikat bahawa teknologi seluruh dunia selangkah ke depan dengan 5G. Jadi kita harus bersedia supaya negara kita ada kesediaan dari sudut infrastruktur untuk menerima teknologi ini. Kajian sedang dibuat pelbagai sektor dan kita akan adakan ujian kepantasan dahulu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan persiapan Pameran 5G di Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Selasa yang akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebanyak 11 syarikat telekomunikasi dan teknologi mudah alih tempatan dan antarabangsa turut serta dalam pameran itu, antaranya Huawei, Ericsson, Celcom, Maxis dan Digi.

Turut akan dipamerkan teknologi kenderaan tanpa pemandu, hologram dan beberapa teknologi mudah alih terbaharu.

Tag: Gobind Singh Deo, KKMM, Menteri, Teknologi, Mudah Alih, 5G, Pameran, Putrajaya, Revolusi Industri 4 0, Malaysia, Industri, Rakyat


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.