Kerajaan Persekutuan akan meneruskan perbincangan bersama Kerajaan Negeri berkaitan pindaan isu had umur perkahwinan melibatkan kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri bagi mencapai keputusan konsensus.

"Kita perlu lihat adat dan agama seseorang individu bagi memastikan ia dapat diselaraskan pada semua pihak dan kami akan terus berbincang," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2019 di sini hari ini.

Setakat ini, lima negeri bersetuju meminda had umur perkahwinan kepada 18 tahun manakala tujuh negeri lain masih kekal dengan had usia asal.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan supaya had usia minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun, bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.