Kerajaan tidak akan mengiktiraf mana-mana individu yang mempunyai lebih daripada satu kewarganegaraan.

Tegas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika individu atau pihak yang mempunyai dua kerakyatan perlu mengakui hanya satu kewarganegaraan sahaja bagi mengelak sebarang masalah.

Namun jika didapati bersalah, tindakan pelucutan kewarganegaraan akan dikenakan mengikut Perkara 24(1) dan 24(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan pelucutan bagi kesalahan ini boleh diambil di bawah Perkara 24(1) Perlembagaan atau menuntut dan menggunakan suatu hak/keistimewaan yang diberikan secara khusus kepada seseorang warga negara negara asing, seperti menggunakan hak undi bagi pemilihan politik di negara asing berkenaan, memohon pasport/dokumen perjalanan negara asing, atau menggunakan pasport/dokumen perjalanan negara asing,” jelas Muhyiddin.

Ia susulan laporan sebuah akhbar tempatan yang mendedahkan bahawa terdapat ribuan warganegara Thailand mempunyai kewarganegaraan negara ini sejak tahun 1980.

Bagaimanapun Muhyiddin menjelaskan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyiasat perkara berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Anugerah Pencapaian Cemerlang (APC) Warga Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada Khamis.