Tutup

Kerajaan tidak intip telefon ahli politik - Mohd Azis

Kerajaan tidak intip telefon ahli politik - Mohd Azis
Kerajaan tidak mengintip sebarang aktiviti telefon ahli politik kerajaan atau pembangkang di negara ini., kata Mohd Azis. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengintip sebarang aktiviti telefon ahli politik kerajaan atau pembangkang di negara ini.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menjelaskan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan setiap elemen yang ada seandainya wujud keraguan untuk melakukan siasatan di telefon bimbit.
“Hari ini apa yang saya tahu (telefon) ahli politik (polis) tidak buat tapping, walau bagaimanapun jika ada isu keselamatan yang dilakukan mana-mana pihak, saya yakin PDRM akan menggunakan setiap elemen yang mereka ada untuk membuat siasatan, tidak kira sama ada ahli politik, perniagaan atau sesiapa yang ada.

"Kebarangkalian dalam perkara yang menyentuh isu keselamatan, PDRM akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mohd Azis menjawab soalan asal Chan Ming Kai (Alor Setar-PH) yang bertanya apakah akta yang membenarkan polis menyemak telefon orang awam pada bila-bila masa dan atas apa asas munasabah tetang anggapan jenayah berlaku yang menjustifikasikan semakan telefon tersebut dibuat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini menafikan dakwaan kononnya telefon milik individu tertentu dipantau dan diintip pihak berkuasa di negara ini.

Sebagai badan yang mengawal selia dan membangunkan industri komunikasi dan multimedia, SKMM menegaskan tidak memantau mahupun mengintip perkara dimuatkan oleh pengguna aplikasi WhatsApp

SKMM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia berupaya menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.



Tag: intip ahli politik, aktiviti telefon ahli politik, Mohd Azis Jamman



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.