Kerajaan tidak akan melayan mana-mana syarikat insurans yang cuba menaikkan kadar premium insurans kenderaan sewenang-wenangnya tanpa sebarang justifikasi, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata Bank Negara akan bertanggungjawab untuk memantau perkara itu dan memastikan syarikat insurans patuh kepada liberalisasi kadar insurans motor yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai depan.

"Liberalisasi yang diperkenalkan Bank Negara ini mempunyai manfaat jangka masa panjang kerana kalau ikut tarif yang ada sekarang walau macam mana kita memandu dengan baik dan tidak melakukan kemalangan, kita tetap perlu membayar premium yang tinggi.

"Jadi formula kali ini lebih baik kerana walaupun umur kita meningkat, kita memandu dengan baik, tidak pernah terlibat dengan kemalangan dan tidak membuat sebarang tuntutan, makan lama-lama premium kita akan semakin murah," katanya selepas menyerahkan van jenazah sumbangan Takaful Malaysia Berhad kepada Surau At-Taqwa, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Jelatek dekat sini hari ini.

April lepas, Bank Negara mengumumkan langkah liberalisasi itu yang akan memperkenalkan penetapan harga fleksibel untuk produk insurans kenderaan komprehensif dan insurans kebakaran dan kecurian kenderaan.

Di bawah kaedah penetapan harga baharu itu, kadar premium akan ditentukan oleh penginsurans individu dan pengendali Takaful, berdasarkan pelbagai aspek termasuk usia kenderaan, ciri-ciri keselamatan kenderaan dan rekod kesalahan trafik.

Menyentuh mengenai penyerahan van jenazah tersebut, Johari mengucapkan terima kasih kepada Takaful Malaysia yang berjaya menunaikan hasrat 4,000 penduduk PPR Jalan Jelatek untuk memiliki kenderaan itu sejak 1997.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu berkata dengan adanya van jenazah tersebut, ia akan melancarkan lagi pengurusan dan pengbumian warga PPR Jalan Jelatek yang sebelum ini terpaksa meminjam kenderaan itu daripada masjid berhampiran sekiranya berlaku kematian.

"Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa surau Haji Yeim Kamari tentang kesulitan warga surau untuk menguruskan kematian yang mana mereka terpaksa menunggu lama sehingga ke petang untuk menguruskan jenazah disebabkan perlu menunggu giliran untuk meminjam van jenazah daripada masjid terdekat.

"Justeru saya berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil yang juga sahabat saya untuk menaja lagi RM70,000, tetapi Alhamdulillah beliau berkata pihaknya sanggup untuk menaja keseluruhan nilai van tersebut sebanyak RM125,000," katanya.

-- BERNAMA