Kerajaan tidak menolak untuk mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi berdarah Memali yang berlaku pada tahun 1985.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia perlu mendatangkan kebaikan selain mengetahui fakta dan kebenaran sebenar peristiwa berkenaan.

"Kita tunggu reaksi masyarakat sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Tragedi Memali berlaku pada 19 Nov 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau dikenali sebagai Ibrahim Libya di Kampung Memali, Baling, Kedah.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata, RCI Memali seharusnya dibuat selepas pilihan raya umum akan datang (PRU14).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri pada waktu itu menegaskan, cadangan itu bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk kepentingan politik dan memancing undi.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kekecohan semasa forum "Nothing to Hide 2.0" baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.

Susulan itu, pemimpin kanan PAS itu mengulangi desakan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyemak semula peristiwa 32 tahun lalu itu dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan kerajaan untuk berbuat demikian sekiranya ada permintaan.

Dua bekas ketua polis negara, Tun Mohammed Hanif Omar dan Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor bagaimanapun mempersoalkan kewajaran membuka semula siasatan yang sudah selesai.