Kerajaan bakal menubuhkan Lembaga Tenusu tahun hadapan bagi menggalakkan rakyat Malaysia lebih kerap minum susu segar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, ketika ini secara purata rakyat Malaysia didapati hanya minum susu segar sebanyak 19.9 liter sepanjang tahun berbanding 100 hingga 150 liter setahun rakyat di benua Eropah dan Amerika Utara.

Malahan ujar beliau lagi, kajian badan antarabangsa turut mendapati bahawa setiap seorang rakyat India, New Zealand dan Jepun mengamalkan minum susu segar antara 30 hingga 100 liter dalam setahun.

“Kita (kerajaan) juga menetapkan sasaran rakyat minum 50 liter susu segar setahun menjelang tahun 2050. Kita perlu 2.6 bilion liter susu daripada 502,000 lembu dalam masa 30 tahun berbanding 21,000 lembu ketika ini,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC), di sini hari ini yang juga dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut serta ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Datuk Dr. Sharif Haron.

Beliau turut menjelaskan, Lembaga Tenusu itu diketuai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain dianggotai Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

Akan turut serta ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Lembaga tersebut akan bertanggungjawab bagi mengembangkan pembangunan industri tenusu negara secara lebih holistik.