Kerajaan memberi tumpuan kepada kelajuan, liputan dan kemampuan dalam pembangunan internet negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata tumpuan kerajaan ialah bagi memastikan menjelang 2020, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat mempunyai akses internet.

"Kerajaan juga mahu memastikan bahawa sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan bandar dan 20 peratus kawasan luar bandar mempunyai kelajuan jalur lebar 100 megabit sesaat (Mbps).

"Fokus Malaysia ialah kelajuan, liputan dan kemampuan. Ini bermakna kos (kemampuan) adalah satu perkara yang saya sedang kaji, yang juga perkara yang dibangkitkan oleh (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang," kata beliau menerusi catatan terbaru dalam blognya, sskeruak.blogspot.my.

Beliau berkata ketika ini, kadar penembusan Internet di Malaysia ialah 67 peratus daripada jumlah penduduk.

"Walaupun ia masih rendah berbanding Korea Selatan (92 peratus), Brunei (75 peratus), Jepun (86 peratus), Singapura (80 peratus) dan Taiwan (80 peratus) tetapi Malaysia mendahului negara-negara lain di Asia," katanya.

Salleh berkata purata kadar penembusan Internet seluruh Asia hanya 38.8 peratus dan 73.5 peratus bagi seluruh Eropah dan pastinya Amerika Utara mengatasi negara-negara lain di dunia pada 87.9 peratus.

"Seperti yang saya nyatakan semalam, kami bercadang untuk menawarkan 95 peratus daripada Perkhidmatan Internet kepada rakyat Malaysia menjelang 2020, iaitu cuma tinggal lima tahun dari sekarang.

"Dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bercadang untuk membelanjakan kira-kira RM9 bilion menjelang 2020 bagi mencapai matlamat ini," kata beliau.