Seorang ibu tergamak memukul tiga anak kandungnya hingga cedera setiap kali bergaduh dengan 'teman lelaki' - seorang wanita yang berlagak tomboy - dalam kejadian di kediaman mereka di Tasek Gelugor, di sini.

Kejadian terbongkar apabila anak sulung wanita itu yang berusia 12 tahun tampil membuat laporan polis, mendakwa dia dan dua orang lagi adiknya berusia lapan dan empat tahun, sering menjadi mangsa pukul ibu mereka sejak empat bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, susulan laporan itu, wanita berusia 32 tahun itu ditahan di Kepala Batas manakala rakannya berumur 33 tahun ditahan di Butterworth pada jam 3.40 petang Rabu.

Noorzainy berkata, tiga kanak-kanak itu tinggal bersama ibu dan rakan wanita yang berperwatakan seperti lelaki itu sejak empat bulan lepas selepas dia menghalau suaminya, berusia 33 tahun, keluar dari rumah mereka.

Menurutnya, kejadian dera dan pukul itu dikesan guru sekolah dua kanak-kanak tersebut selepas mereka kerap tidak hadir ke sekolah.

Malah, pemeriksaan guru selanjutnya mendapati, dua beradik masing-masing Tahun Enam dan Tahun Dua itu, selalu dipukul ibu sebelum pihak sekolah memaklumkan kepada ayah mereka.

Siasatan mendapati kanak-kanak itu sering dipukul menggunakan tali pinggang setiap kali ibu mereka bergaduh dengan rakan wanitanya dan polis percaya tomboy tersebut turut memukul mereka.

Terdapat kesan lebam pada beberapa bahagian badan mangsa tetapi tiada kecederaan serius. Foto PDRM

Katanya, tiga kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk menerima rawatan pemeriksaan dan doktor mendapati terdapat kesan lebam pada badan tiga mangsa tersebut namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

Polis turut merampas tali pinggang digunakan ibu mereka untuk memukul tiga kanak-kanak itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, suspek dan rakan tomboynya itu kini direman di Mahkamah Butterworth bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.