Angkara mahu menutup malu kerana terlibat dengan aktiviti penipuan sebelum ini, empat beranak nyaris maut apabila cubaan mereka untuk membunuh diri dengan melepaskan gas LPG di kediaman mereka, berjaya 'dipatahkan' pihak polis dan bomba.

Dalam kejadian jam 3 pagi di penempatan Flat Sri Indah, Kuala Manggatal, di sini, hari ini, kesemua mangsa diselamatkan dan kini ditempatkan di hospital untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, keluarga berkenaan yang terdiri sepasang suami isteri berusia 63 dan 60 tahun beserta dua anak mereka, berusia 29 dan 26 tahun cuba membunuh diri selepas dikatakan malu kerana didapati terlibat dengan aktiviti penipuan scammer.

Terdahulu, kejadian itu disedari beberapa jiran yang terhidu bau kuat gas LPG di kediaman keluarga tersebut sebelum bertindak menghubungi polis dan bomba.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota polis dan bomba bergegas ke lokasi untuk operasi menyelamatkan kesemua individu terbabit.

"Sebaik rumah itu berjaya dimasuki pihak polis, semua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah mereka yang berada di tingkat empat flat itu.

"Kesemua individu itu kemudiannya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), mereka kini dilaporkan stabil," katanya.

Menurut Habibi, siasatan awal mendapati anak lelaki pasangan berkenaan yang berusia 29 tahun dipercayai terlibat dengan aktiviti scammer sebelum ini.

"Kita juga mendapati suspek ini turut terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan pernah berada di bawah pemantauan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Polis dalam pada itu sedang melakukan siasatan menyeluruh berhubung sejauh mana pembabitan suspek dengan aktiviti scammer sebelum ini," katanya lagi.

Jelasnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba membunuh diri.