Kerangka kerja bagi inisiatif syarikat-syarikat Renewable Energy 100 (RE100) akan diumumkan kerajaan dalam masa tiga bulan lagi.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menjelaskan, ketika ini usaha menyiapkan kerangka berkenaan berada pada tahap akhir.

Katanya, pengumuman mengenai kerangka RE100 itu kelak akan meliputi perincian mengenai mekanisme pelaksanaan inisiatif tersebut.

"RE100 adalah syarikat-syarikat yang komited yang mahu mengambil semua tenaga mereka dari tenaga boleh diperbaharui yang dipanggil RE100. Jadi ini adalah 100 peratus tenaga boleh diperbaharui.

"Buat masa ini, ia adalah tidak mustahil (dilaksanakan) di Malaysia. Ia tidak mustahil di banyak negara kerana anda akan dapat bekalan elektrik daripadanya," katanya kepada media selepas pelancaran The Malaysian Chapter Of The Climate Covernance Initiative For Non-Executive Directors di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini pada Khamis.


Malah pihaknya juga telah berbincang dengan RE100 dan ada kalangan syarikat terbabit yang telah meninjau kawasan-kawasan terlibat untuk melaksanakan insiatif tenaga boleh diperbaharui itu.

"Kita mahu melihatnya bukan sahaja melalui insentif di Malaysia, RE100 juga boleh diperolehi di Malaysia melalui elektron atau tenaga. Ia melalui cara pembelian sijil," katanya lagi.

Selain itu, inisiatif RE100 akan memberi kelebihan kepada Malaysia untuk menjadi negara tumpuan dalam tenaga boleh diperbaharui di Asia.

"Saya mahu menjadikan perkara ini berhasil. Ini kerana mereka akan terfikir di mana mahu membina ibu pejabat di ASEAN dan memberi kelebihan kepada negara," tambahnya.

Sejak dilancarkan pada Climate Week NYC 2014, RE100 telah meluaskan rangkaiannya ke Eropah, Amerika Utara, India dan China.

Malah, ketika ini, ia sedang berkembang pesat di negara seperti Jepun dan Australia.