Seorang kerani kerugian RM2,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota kastam dan pegawai polis, di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.39 petang, mangsa wanita berusia 51 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali ketika berada di tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Benus.

Suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam mendakwa mangsa mempunyai 103 telefon bimbit yang dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM16,072 tetapi tidak berbayar.

"Mangsa menafikan dakwaan berkenaan dan kemudian panggilan itu disambungkan dengan anggota polis yang dikenali sebagai Sarjan Nizam dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Sarjan Nizam juga turut membuat carian nombor kad pengenalan dan mendapati mangsa turut terbabit dengan kes dadah dan ada waran tangkap," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Supt Mohd Wazir Mohd Yusof ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, untuk menyelesaikan waran tangkap berkenaan, suspek yang menyamar sebagai anggota polis itu meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM2,000 ke dalam satu akaun CIMB Bank.

"Mangsa kemudian memasukkan wang berkenaan melalui pindahan dari Mesin ATM Maybank Bentong ke dalam akaun yang diberikan.

"Untuk pengesahan, mangsa menghantar gambar slip bank berkenaan melalui WhatsApp ke nombor telefon milik Sarjan Nizam.

"Suspek juga beritahu, akan menghubunginya kembali, namun tiada panggilan diterima, menyebabkan mangsa menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis, semalam," katanya.

Mohd Wazir berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan suspek.