Perkhidmatan kereta api kabel Bukit Bendera akan ditutup sebulan bagi kerja-kerja pemulihan dan pembaikan berikutan keadaan cuaca ekstrem sejak Sabtu lepas.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tanah tinggi Bukit Bendera terjejas akibat keadaan cuaca ekstrem baru-baru ini dengan berlaku 68 insiden tanah runtuh, batu gelongsor, pokok tumbang dan dahan di sepanjang landasan kereta api, laluan jip serta kawasan di kemuncak.

"Perkara ini di luar jangka, belum pernah berlaku sebelum ini, Agak malang bagi Pulau Pinang kerana bukan sahaja dibadai taufan Damrey yang melanda Vietnam tetapi juga tiupan angin yang begitu kuat 40 batu sejam yang belum pernah berlaku di Malaysia selain hujan lebat serta banjir di Kedah.

"Mudah-mudahan kerja pemulihan dan pembaikan dapat dilakukan dalam tempoh sebulan... harap-harap sebelum Krismas," katanya pada persidangan media, di Bukit Bendera di sini pada Rabu.

Hampir seluruh Pulau Pinang terjejas akibat banjir ekoran angin kencang dan hujan lebat yang melanda sejak Sabtu lepas, mengakibatkan Lim terpaksa merayu bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

Banjir itu mengorbankan tujuh nyawa, dan angin kencang serta hujan lebat merosakkan hartanah selain mengakibatkan pokok tumbang di beberapa kawasan.

Lim berkata kerja pemulihan dan pembaikan akan tertumpu kepada tiga kawasan utama iaitu landasan kereta api kabel, kawasan di kemuncak dan laluan jip dari Kebun Bunga.

Beliau berkata sehingga kini, 36 lokasi tanah runtuh dikenal pasti di kemuncak Bukit Bendera yang menjejaskan jalan dan laluan kecil di kemuncak, dan empat tanah runtuh serta pokok tumbang dan dahan turut dikenal pasti di sepanjang landasan yang mengakibatkan gangguan kepada operasi kereta api.

"Dianggarkan kerja pembaikan termasuk sambungan semula operasi kereta api akan mengambil kira-kira tiga hingga empat minggu meliputi kerja pembersihan landasan, penggantian komponen berkaitan sistem kereta api kabel dan menempatkan kembali sistem kereta api kabel pada talian," katanya.

Lim turut memberi jaminan bekalan air dan elektrik ke kawasan tertentu akan pulih sebenuhnya menjelang minggu depan.

Beliau berkata Perbadanan Bukit Bendera merayu sukarelawan untuk membantu kerja pembersihan dan mereka yang berminat boleh menghantar email kepada [email protected] atau menghubungi 04-8288880 atau datang sendiri ke pejabat Perbadanan Bukit Bendera di Tingkat 7, Bangunan Perbadanan Bukit Bendera, Jalan Stesen Bukit Bendera.

-- BERNAMA