Selepas ditutup selama sebulan bagi kerja- kerja pemulihan dan pembaikan akibat banjir dan tanah runtuh di Bukit Bendera, perkhidmatan kereta api kabel Bukit Bendera akan beroperasi semula pada Sabtu ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata perkhidmatan itu akan dibuka bermula jam 6.30 pagi.

"Keretapi funikular akan memulakan operasi semula pada Sabtu, 30 Dis ini selepas tepaksa ditutup kerana bencana angin kencang dan juga banjir yang paling buruk dalam sejarah negeri Pulau Pinang.

"Selepas usaha bersungguh-sungguh selama hampir dua bulan kita berjaya membaikinya, bukan sahaja keretapi tetapi kawasan tanah runtuh juga,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar pada Khamis.

Menurutnya, sebelum ini perkhidmatan adalah terhad dan hanya disediakan untuk pengusaha perniagaan dan pihak-pihak berkepentingan dari 27 hingga 29 Dis bagi memudahkan kerja-kerja menyambung semula perkhidmatan dan perniagaan seperti biasa pada 30 Dis.


Guan Eng berkata, sebanyak 194 kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Bukit Bendera yang menyebabnkan perkhidmatan itu tergendala dan menghalang bukan sahaja laluan ke kediaman tetapi juga laluan jip, jalan utama ke bukit itu.

Hampir seluruh Pulau Pinang terjejas banjir selepas angin kencang dan hujan lebat melanda negeri itu pada 4 Nov lepas menyebabkan Guan Eng merayu bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Banjir itu mengorbankan tujuh nyawa, dan angin kencang serta hujan lebat merosakkan hartanah selain mengakibatkan pokok tumbang di beberapa kawasan.

Kerja pemulihan dan pembaikan tertumpu kepada tiga kawasan utama iaitu landasan kereta api kabel, kawasan di kemuncak dan laluan jip dari Kebun Bunga.

Sebanyak, 36 lokasi tanah runtuh dikenal pasti di kemuncak Bukit Bendera yang menjejaskan jalan dan laluan kecil di kemuncak, dan empat tanah runtuh serta pokok tumbang dan dahan turut dikenal pasti di sepanjang landasan yang mengakibatkan gangguan kepada operasi kereta api.