Seorang pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, maut apabila kereta yang dipandunya terbabas di jalan Changlun – Kuala Perlis, berhampiran Pintu B Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) Ulu Pauh, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Dr Mohammad Farid Ismail, 28 tahun, dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik di pembahagi jalan.

Ketika kejadian, difahamkan mangsa yang berasal dari Pendang, Kedah itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Ekoran kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Arau, Supt Nanda Maarof yang dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Foto ihsan PDRM

Foto ihsan PDRM

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan sebelum dibawa ke unit forensik HTF untuk bedah siasat.

Identiti mangsa dikenali berdasarkan kad pengenalannya yang beralamat di Taman Sri Mas, Pendang, Kedah.