Tindakan seorang remaja yang memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat sini telah menyebabkan kemalangan membabitkan enam kenderaan yang mengorbankan satu nyawa.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi Selasa, pemandu Proton Gen 2 berusia 19 tahun yang dipercayai mabuk itu memandu secara berbahaya dari Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, kenderaan tersebut bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang menyebabkan ia terbabas ke kiri jalan sebelum terlanggar sebuah motosikal.

Pada masa sama, kereta Proton Gen 2 itu terbabas dan berpusing lalu melanggar tiga buah kenderaan lain termasuk sebuah van kilang.

Pemandu Perodua Kelisa yang dikenali sebagai Mohamad Fandi Rosli, 26 tahun, dan beralamat di Lorong 2/2 B, Taman Rhu, Sungai Petani meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Manakala pemandu Gen 2 serta empat pemandu lain hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bukit Mertajam.

Mangsa yang maut kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Nahas yang berlaku ketika orang ramai berpusu-pusu keluar ke tempat kerja turut menyebabkan berlakunya kesesakan teruk sepanjang tiga kilometer.

Nik Ros Azhan berkata kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai sehingga menyebabkan kematian.