Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu dirempuh sebuah kenderaan lain yang dipandu melawan arus di Kilometer (KM) 17.5 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) berdekatan susur keluar Plaza Tol Pajam menghala ke Seremban, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kejadian sekitar jam 3.20 pagi itu masing-masing melibatkan dua buah kereta dan tiga buah motosikal.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia merupakan pemandu sebuah kereta jenis Proton Persona yang dikenali sebagai Abdul Salam Saad, 34 tahun.

“Siasatan awal mendapati, Proton Persona dan tiga lagi motosikal berada dalam satu laluan yang sama sedang bergerak dari susur keluar Tol Pajam menghala ke Seremban.

“Sampai di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Ford Fiesta dipandu lelaki berusia 30 tahun dipercayai cuba melawan arus untuk masuk ke jalan susur keluar Tol Pajam sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran dengan mangsa-mangsa yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga penunggang motosikal kemudian dikejarkan ke Zon kuning Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban manakala pemandu Ford Fiesta berkenaan dikejarkan ke Zon Merah hospital sama.

“Sampel darah mangsa (pemandu Ford Fiesta) yang kini sedang menerima rawatan di zon merah kita telah ambil untuk pastikan sama ada dia memandu dalam keadaan mabuk atau sebaliknya,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.