Persepsi pengguna dan kerajaan berbeza apabila bercakap tentang kereta nasional ketiga yang dijangka dilaksanakan menjelang 2020.

Namun, tegas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kereta nasional ketiga bertujuan untuk rakyat menguasai bidang kejuruteraan dan bukan sekadar mendabik dada.

Ia bakal membuka peluang buat rakyat Malaysia menerajui bidang kejuteraan dan tidak hanya bergantung kepada pasaran luar.

“Itu adalah hasrat sebenar pelaksanaan kereta nasional, bukan sekadar untuk berbangga. Sekiranya kita mampu cipta kereta sendiri, kita akan menguasai bidang kejuteraan dan rakyat berpeluang menceburi bidang pembuatan komponen.

“Itu tujuan kerajaan, tetapi bagi konsumer mereka berasakan seperti terpaksa membeli kereta tempatan yang hanya menggunakan 'tin Milo', oleh kerana itu mereka tidak beli kereta tempatan.

“Sekiranya kita tidak mahu berkorban dan hanya membuka peluang kepada barangan yang diimport, maka duit hanyalah mengalir keluar dan tidak masuk. Justeru, terpulang kepada anda untuk membuat keputusan,” katanya pada sesi dialog Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018.

Tambahnya, pengorbanan perlu dibuat untuk memastikan negara tidak mundur terutamanya dalam bidang kejuteraan yang seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan buat anak muda di negara ini.