Dewan Rakyat pada Khamis panas dengan isu ‘kereta terbang’ yang dibahaskan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof ketika menggulung Perbahasan Titah Diraja kementeriannya.

Menurutnya, kereta terbang ialah platform mobiliti udara yang menggerakkan segala bentuk medium melalui perjalanan udara tanpa melalui kesesakan jalan raya.

“Ini baru definisi supaya kita faham. Sebanyak 70 peratus dapat disingkatkan dengan platform mobiliti udara.

“Kita sebut kereta terbang ini sebab kita nak rangsangkan minda pelajar. Minda apakah yang kita boleh bawa kepada mereka iaitu boleh bawa hala tuju mereka. Usaha kita nak majukan kepada tahap negara maju,” katanya.

Justeru kata beliau, penciptaan ‘kereta terbang’ itu mampu membuka minda anak muda pada hari ini.


Mohd Redzuan kemudian diasak dengan pelbagai soalan termasuk cadangan beberapa Ahli Parlimen yang menyebabkan dewan gamat.

Antaranya, Ahli Parlimen (BN) Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad yang mencadangkan kementerian agar turut mencipta ekzos daripada buluh.

Cadangan itu sekali gus mengundang ketawa semua ahli parlimen.

“Saya menghargai dan kagum dengan kereta terbang ini. Saya nak puji dan kagum terutama dalam nak membangunkannya. Saya nak tahu berapa kosnya. Dan kedua impaknya apa kepada usahawan tempatan.

"Dalam nak kerjasama dengan kementerian sedia ada, macam mana nak menggunakan buluh-buluh yang ditanam,” kata Noraini lagi.

Mohd Redzuan cuba memberi penjelasan dengan mengatakan ada pelbagai penggunaan buluh dari akar ke pucuk.

Belum habis memberi jawapan, Noraini mencelah dengan mencadangkan buluh digunakan untuk membuat ekzos.

“Kalau ekzos boleh tak? Boleh kan?” sindir Noraini sekali gus menggamatkan suasana dewan.

Mohd Redzuan bagaimanapun dengan yakin mengatakan sedia menerima cadangan dan terbuka dengan kajian.

“Kita boleh jenamakan semula sebagai advance composit material. Contoh kereta terbang tadi,” ujarnya.

Bagaimanapun, kerajaan perlu melakukan kaji selidik sebelum dapat melaksanakan sesuatu inovasi.

Dalam masa sama, beliau berharap, tiada pihak cuba memperlekehkan inovasi anak tempatan dan pada masa sama untuk mewujudkan kepakaran di kalangan mereka.