NATIONAL
Kerja pembersihan tanah runtuh Genting Highlands berdepan risiko

Anggota keselamatan dan pekerja-pekerja yang melakukan pembersihan tanah runtuh berdepan risiko kerana masih terdapat pergerakan tanah. Foto: Astro AWANI/ Raja Hisyam Raja Zaid
Anggota keselamatan dan pekerja-pekerja yang melakukan pembersihan di laluan ke Grand Ion D'Elemen, Gloria Residents dan Amber Court berdepan risiko kerana masih terdapat pergerakan tanah.
Pihak bomba dan penyelamat terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau setiap kerja-kerja pembersihan.
Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusri Abdullah Sani buat masa ini keadaan masih terkawal.
“Bagaimanapun arus air dan tanah di kawasan sekitar masih menunjukkan berlaku pergerakan.
“Ketika ini kami memantau kerja-kerja pembersihan oleh kontraktor hotel Ion D’Elemen dan akan memastikan jalan yang dibuat itu adalah untuk pejalan kaki.
Pihak bomba juga menganggarkan lebih 200 penghuni di tiga premis berkenaan masih berada dalam bangunan tersebut dan gagal untuk ke luar dari kawasan premis berkenaan.
Sementara itu, menurut Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd Zulkifli Hasin, kesemua mereka yang telah melakukan daftar keluar tengah hari Selasa dijangka akan dapat menggunakan laluan lewat malam ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan laluan ke kawasan pelancongan Genting Highlands tidak terjejas.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan hasil siasatan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami