Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kerja penambahbaikan LRA SSP3 siap, pemulihan bekalan air bermula hari ini

Kerja penambahbaikan LRA SSP3 siap, pemulihan bekalan air bermula hari ini
Air Selangor menasihati pelanggan yang terjejas untuk menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pemulihan bekalan air berikutan kerja-kerja penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) akan bermula 9 pagi ini hingga 5 petang Jumaat ini.

Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang mengaktifkan semula sistem LRA SSP3 selepas kerja penambahbaikan di loji rawatan itu yang bermula 9 pagi semalam, siap sepenuhnya pada 11 malam hari yang sama.
Air Selangor menasihati pelanggan yang terjejas untuk menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual kerana bantuan bekalan air ke kawasan perumahan hanya akan digerakkan pada 16 dan 17 Julai.

"Pada masa ini, lori-lori tangki Air Selangor memberi bantuan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
"Air Selangor juga telah menempatkan 82 tangki statik di sekolah-sekolah sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan, klinik kesihatan dan pusat dialisis," menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh merujuk kepada Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan www.airselangor.com bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai status bekalan air.

-- BERNAMA