Ungkapan 'non-stop' atau tanpa henti, dilihat memainkan peranan signifikan dalam kehidupan Ketua Penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon.

Malah, filem seram tentang pesawat bertajuk Non Stop merupakan filem yang ditontonnya bersama-sama isteri di sebuah panggung wayang di Petaling Jaya pada 8 Mac, 2014 - hari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 dilaporkan hilang daripada radar.

Kehilangan pesawat itu merupakan kejadian paling misteri dan aneh dalam sejarah industri penerbangan.

Bagi Kok, tajuk filem itu secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan tugas berprofil tinggi dilakukannya itu.

Kerja tanpa henti telah menjadi rutinnya selepas beliau ditugaskan mengetuai pasukan penyiasatan antarabangsa bebas itu bagi menyiasat kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu.

"Nama filem itu ... anda percaya atau tidak, ialah Non Stop. Kini, tugas ini adalah tanpa henti," kata Kok, 65, bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia.

Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370 dianggotai 19 warga Malaysia dan tujuh wakil bertauliah daripada tujuh pihak berkuasa keselamatan dari tujuh negara.

Pihak berkuasa itu ialah Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Pentadbiran Penerbangan Awam China, Biro d'EnquOtes et d'Analyses Perancis, Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia, Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Singapura, Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika Syarikat.

Penerbangan MH370, membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.

Pesawat itu masih belum ditemukan walaupun operasi mencari besar-besaran dilaksanakan di selatan Lautan Hindi, tempat pesawat itu dipercayai berakhir selepas melencong daripada laluan asal.

Pada Julai tahun lepas, sekeping flaperon ditemukan terdampar di pantai Pulau Reunion, Perancis dan pada 6 Ogos tahun lepas, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan ia daripada pesawat MH370.


Kok berkata waktu bekerjanya adalah tanpa henti kerana beliau perlu menyelaraskan penyiasatan besar-besaran membabitkan anggota pasukan daripada pelbagai negara di dunia.

Beliau akan memanfaatkan sepenuhnya teknologi seperti tele-persidangan dan e-mel untuk berhubung.

"Kami perlu berkomunikasi pada lewat malam. Dan perkara pertama yang akan lakukan sebelum pergi kerja dan sebelum tidur ialah melihat sebarang pesanan dalam komputer riba saya," katanya.

Kok berkata pasukan penyiasatan komited untuk melakukan yang terbaik dan mengenal pasti apa sebenar berlaku di sebalik kehilangan pesawat MH370.

"Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk mencari kebenarannya untuk dimasukkan dalam laporan kami supaya semua orang tahu apa sebenarnya berlaku pada hari kejadian," katanya.

Ketua penyiasat itu berkata anggota pasukan amat komited dan hubungan kerja dengan pakar-pakar, amat menggalakkan dan mesra dalam usaha untuk mencari apa yang sebenarnya berlaku.

Pasukan penyiasatan telah mengeluarkan kenyataan interim dan maklumat fakta tentang insiden MH370 pada ulang tahun pertama kehilangannya tahun lepas dan pada tahun ini, ia mengeluarkan kenyataan interim.
Bagi Kok, apa yang sebenarnya berlaku ada di luar sana.

Sehingga ketua penyiasat dan anggota pasukannya itu berjaya merungkai misteri kehilangan pesawat MH370, tugas itu akan berterusan - tanpa henti.