Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Kerjasama, disiplin sosial kawal penularan COVID-19 - KP Kesihatan

Kerjasama, disiplin sosial kawal penularan COVID-19 - KP Kesihatan
Dr Noor Hisham berkata hasil usaha pengesanan kes aktif KKM, Malaysia tidak merekodkan peningkatan mendadak. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia perlu bekerjasama dan mengamalkan disiplin sosial dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sejak dua minggu lepas, Malaysia merekodkan antara 150 hingga 200 kes positif COVID-19 sehari dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau trend dengan teliti untuk memastikan tiada peningkatan eksponen.
"Kita sudah melengkapkan tempoh dua minggu, ada lagi dua minggu, terpulang kepada kita dan jika kita semua bersama-sama serta mengamalkan dan mematuhi arahan duduk di rumah, dan kami, KKM, akan meneruskan aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan kes, meningkatkan saringan, mencari kumpulan sasaran dan mengasingkan mereka lebih awal, barulah kita dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

"Jadi, untuk dua minggu akan datang, ia terpulang kepada anda dan saya, jika kita semua mempunyai disiplin sosial, saya pasti kita akan berjaya mendatarkan keluk dan mencegah kenaikan eksponen.
"Jika tidak, kita mungkin melihat lonjakan kes positif COVID-19 pada pertengahan April seperti yang diramal JP Morgan dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia," katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di sini pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata hasil usaha pengesanan kes aktif KKM, Malaysia tidak merekodkan peningkatan mendadak seperti antara 900 hingga 1,000 kes positif jangkitan sehari.

"Ini bermakna kami akan terus ke komuniti yang dikenal pasti sebagi kumpulan berisiko tinggi melalui pendekatan yang disasarkan dan kemudian menguji mereka.

"Akan ada beberapa kes yang dikesan positif, pengesanan kami positif hampir lapan peratus, jadi, untuk setiap 100 yang diuji, lapan kes adalah positif," katanya.

Dr Noor Hisham turut menggesa rakyat Malaysia yang baru kembali dari luar negara supaya menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.

"Kami bimbang gelombang kedua adalah kes dari luar. Rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara, kumpulan yang dikhuatiri membawa balik COVID-19.

"Walaupun mereka didapati negatif, kami perlu mengkuarantin mereka selama 14 hari. Mereka yang positif pula akan diasingkan di hospital," katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM sedar ada segelintir rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara mengingkari peraturan kuarantin di rumah.

Ketika ditanya kemungkinan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga Ramadan, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai perkara itu ketika ini.

"Kita hanya akan mengetahui selepas minggu pertama April dan bagaimana kita melakukannya. Jika kita terus mencatatkan trend mendatar atau tiada peningkatan mendadak, mungkin akan dapat buat keputusan dengan selamat.

"Mengenai bazaar Ramadan, mereka perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard atau garis panduan KKM dan perlu mengambil langkah pencegahan untuk memutuskan rantaian COVID-19," katanya.

Dalam pada itu, mengulas cadangan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di zon merah, beliau berkata tindakan itu akan dilaksanakan sekiranya berlaku peningkatan kes positif secara mendadak di kawasan berkenaan.

Kerajaan telah menguatkuasakan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, bermula semalam manakala dua lagi kawasan di Simpang Renggam, Johor iaitu Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid yang dikuatkuasakan, Jumaat lepas.

-- BERNAMA