Tutup

Kerjasama Mara Corp dan Lynas dibuat tanpa kelulusan Majlis Mara

Kerjasama Mara Corp dan Lynas dibuat tanpa kelulusan Majlis Mara
Pada Isnin, Mara Corporation mengumumkan jalinan kerjasama dengan Lynas Malaysia untuk melaksanakan beberapa projek utama termasuk menarik syarikat dan industri hiliran melabur ke Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perjanjian persefahaman antara Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) dan Lynas Malaysia Sdn Bhd dibuat tanpa kelulusan Majlis Mara.

Menurut Bahagian Komunikasi Korporat Mara, tindakan Mara Corp menandatangani MoU itu tidak selaras dengan ketetapan Majlis Mara yang mana sebarang inisiatif baharu perlu mendapat pertimbangan Majlis Mara.
“Berikutan perjanjian persefahaman (MoU) antara Mara Corp dan Lynas Malaysia, Mara ingin menjelaskan bahawa perjanjian persefahaman tersebut adalah tanpa kelulusan Majlis Mara,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Susulan tindakan tanpa kelulusan itu, Majlis Mara mengumumkan bahawa pihaknya akan membuat ketetapan mengenai hala tuju Mara Corp dalam masa terdekat.
Mara Corp merupakan anak syarikat Mara yang dipengerusikan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.

Beliau merupakan individu yang mewakili Mara Corp dalam memuktamadkan MoU berkenaan pada Isnin.

“Oleh itu, segala penglibatan dengan pihak lain dalam sebarang inisiatif baharu perlu melalui proses mendapatkan kelulusan Majlis Mara dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” jelas kenyataan itu lagi.

BACA: Lynas, MARA Corp bekerjasama majukan sektor hiliran nadir bumi

Pada Isnin, Mara Corporation mengumumkan jalinan kerjasama dengan Lynas Malaysia untuk melaksanakan beberapa projek utama termasuk menarik syarikat dan industri hiliran melabur ke Malaysia.

Semasa majlis menandatangi MoU itu, Akhramsyah Muammar Ubaidah memaklumkan bahawa pihaknya melihat potensi tinggi dalam industri nadir bumi yang ketika ini adalah bernilai berbilion ringgit, selain daripada tidak mahu melihat peluang berkenaan terlepas ke negara lain.