Kerjasama antara Pas dan UMNO dilihat sebagai satu hala tuju yang baharu dalam usaha kedua-dua parti ini membina serta meraih semula sokongan orang melayu.

Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Hamidin Abdul Hamid berkata, bagaimanapun gambaran itu masih kabur untuk dinilai kerana ia masih di peringkat permulaan terutamanya dalam aspek kerjasama.

“Kerjasama ini masih lagi kabur dalam konteks kerjasama itu sendiri dan adakah konteks itu melibatkan gerak kerja politk semata-mata atau kerjasama yang lebih mendalam untuk menjadikan dua parti ini menjadi satu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Jelasnya lagi, seperti yang diketahui umum, kedua-dua parti ini dahulunya mempunyai perbezaan dari segi hala tuju, objektif, serta falsafah perjuangan antara Pas dan UMNO ini jauh berbeza meskipun mewakili kaum yang sama.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama itu juga menunjukkan kedua-dua parti ini cuba mengetepikan perbezaan dalam membina usaha meraih sokongan arus perdana politik kaum Melayu, namun pertemuan dalam konteks ideologi kedua-dua pihak ini masih menjadi tanda tanya.

Ditanya mengenai sifat gabungan antara kedua-dua parti itu, katanya, sekiranya ia bertujuan sebagai persiapan mendepani pilihan raya semata-mata maka gabungan ini dianggap satu usaha yang berjaya dalam membina platfrom yang menyasarkan pengundi Melayu.