Kerjasama dengan Turki dalam bidang pertahanan adalah amat penting dalam usaha meningkatkan dagangan dengan negara berkenaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia sekali gus mengubah pandangan awal mengenai tujuan lawatan rasmi berkenaan untuk berjupa dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

“Saya berpendapat lawatan ini amat bermakna dan berharga kepada kita dan mereka juga menawarkan kerjasama dengan kita dalam bidang tertentu dan mereka bersedia untuk memberi akses kepada teknologi (pertahanan) mereka.

“Tidak perlu bersusah untuk mendapat teknologi di tempat lain kerana mereka bersedia untuk memberi teknologi mereka,” katanya semasa sidang media rangkuman lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri di Turki di sini, pada Sabtu.

Katanya lagi, Malaysia akan mengambil peluang yang diberikan Turki itu untuk membolehkan negara melonjakkan pencapaian teknologi dalam bidang pesawat dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

Dalam pada itu, Turki juga, jelas Perdana Menteri, sedia untuk memberi akses kepada Malaysia dalam teknologi canggih.

Ini kata Dr Mahathir sangat jarang dilakukan oleh mana-mana negara yang mempunyai kemajuan dalam teknologi.

“Ini satu peluang bagi kita, biasanya syarikat yang mempunyai teknologi yang canggih tidak sanggup untuk mendedahkan kebolehan mereka, tetapi di sini mereka sanggup mengambil jurutera kita untuk bersama mereka dalam pelbagai bidang, termasuk reka bentuk, pembuatan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu jelas Dr Mahathir, pertemuan dengan ahli perniagaan Turki memberi peluang kepada Malaysia untuk memperluaskan bidang pelaburan.

“Saya dapat berjumpa dengan pemain industri di Turki dan ini adalah satu peluang kita promosikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan dan sebagai hab perniagaan di Asia Tenggara,” jelasnya.

Dalam satu pertemuan meja bulat bersama kira-kira 35 syarikat utama Turki sebelum ini, Dr Mahathir menawarkan tiga sektor teras utama yang boleh diterokai usahawan negara berkenaan, melibatkan sektor aeroangkasa, automotif serta jentera dan

Selepas selesai sidang media, Dr Mahathir yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kemudian berlepas pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul.

Lapangan terbang itu diurus dan ditadbir sepenuhnya oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).