Bersikap terbuka dan mencari jalan pertemuan demi perdamaian dan perpaduan sepatutnya menjadi keutamaan bagi membolehkan negara menghadapi cabaran yang makin hebat pada masa hadapan.

Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, beliau bersikap terbuka dan memilih jalan perdamaian kerana cara itu akan membolehkan negara berada dalam keadaan stabil.

Kestabilan pula penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan pada pembangunan negeri serta negara dan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Bagi saya yang penting ialah untuk membingkai muafakat dan mencari jalan pertemuan kerana cabaran yang kita hadapi hari ini amat getir. Kita boleh selesaikan semuanya sekiranya kita bersedia untuk mengambil sikap yang terbuka dan berlapang dada bagi mencari perdamaian di kalangan kita dalam negara ini," ujar Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyifatkan penyertaannya dalam Muafakat Nasional (MN) tidak akan mengukuhkan kerjasama politik itu.

Nur Jazlan turut menyifatkan kerjasama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak kukuh sekalipun bersama dalam Perikatan Nasional (PN) berikutan ia hanya kerjasama politik dan bukan parti berdaftar.

Mohamed Azmin mengulas perkara tersebut selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Korban kepada 250 asnaf di Yayasan An-Nahdhoh, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Ahad.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamed Azmin berkata, beliau optimis perpaduan akan tercapai jika setiap orang mempunyai niat yang baik dan memilih jalan perdamaian demi rakyat dan negara.

Keyakinan itu didokong dengan kesedaran umat Islam ketika ini mengenai pentingnya perpaduan di kalangan rakyat bagi menghadapi cabaran yang kian getir termasuk wabak COVID-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara.

"Pelbagai kelompok masyarakat umat Islam telah menyedari bahawa perlunya untuk kita membingkai satu muafakat yang utuh menjamin perpaduan yang utuh di kalangan kita. Perpaduan yang utuh ini insya-Allah kita dapat menghadapi cabaran-cabaran yang lebih besar pada masa yang akan datang," kata beliau.