Kertas cadangan mengenai standard operasi prosedur (SOP) kebenaran bagi melaksanakan ibadat solat secara berjemaah termasuk solat Tarawih dan solat Jumaat akan dibawa serta dibincangkan sekali lagi di peringkat Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang akan diadakan esok.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary,
satu perbincangan telah dibuat secara terperinci mengenai isu tersebut di peringkat Kabinet khususnya mengenai penambahbaikan SOP terhadap kebenaran itu dalam mematuhi segala arahan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan solat Tarawih secara berjemaah di masjid dan surau di seluruh Malaysia boleh dilakukan disekiranya pihak kerajaan membenarkan pelaksanaan kertas cadangan yang telah dikemukakan.

"Kabinet memberi mandat (kepada) kita, Kementerian Agama Jabatan Perdana Menteri membawa semula kepada Muzakarah Kebangsaan yang akan dilaksanakan dalam masa dekat, pada esok hari iaitu Muzakarah Khas Hal Ehwal Agama Islam, khas untuk membincangkan tentang keperluan untuk meneliti secara lebih terperinci sebelum kerajaan umumkan untuk benarkan kita buka masjid dan aktiviti dalam ruangan ini," kata beliau.

Marzuk berkata demikian ketika ditemui media selepas program Inspirasi Musaadah Ramadan YaPEIM 2020 di YaPEIM Mart Sungai Petani pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pihaknya akan memaklumkan lebih awal kepada lebih 16,000 bakal jemaah yang telah menerima surat tawaran mengerjakan haji bagi tahun 2020 selepas keputusan mengenai ibadat terbabit diputuskan kerajaan Arab Saudi.

Tambahnya, satu pertemuan bersama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur juga telah dibuat dan menjelaskan pihaknya akan menerima segala apa yang bakal dimukmatamadkan kedua dua belah pihak.

Menurut Marzuk, beliau menjangkakan kouta 30,000 jemaah haji dari Malaysia akan dikurangkan sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadat haji dilaksanakan bagi tahun ini.