Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengeluarkan satu kertas konsultasi rakyat, yang mempunyai dua bahagian, dalam tempoh dua minggu lagi.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata bahagian pertama di dalam kertas tersebut akan menjelaskan mengenai dasar-dasar dan fakta terkini PTPTN yang perlu diketahui masyarakat seluruhnya.

Katanya bahagian pertama ini dibuat berdasarkan fakta, dan bukannya emosi atau tuduhan yang tidak benar kepada PTPTN.

"Yang tidak benarnya ialah janji Pakatan Harapan (PH) nak hapuskan PTPTN. Itu tuduhan tidak benar. Jadi menerusi bahagian pertama ini kita akan tunjukkan fakta-faktanya," kata Wan Saiful kepada media selepas merasmikan penutup program Kepimpinan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sekolah Menengah Negeri Perlis 2019 di sini pada Ahad.

Beliau berkata bahagian kedua pada kertas tersebut akan mengandungi 10 idea besar, yang dikumpul melalui diskusi bersama pemegang taruh sejak Disember 2018 sehingga Mac tahun ini.

Katanya kumpulan pemegang taruh ini terdiri daripada ibu bapa, guru, pakar ekonomi, anak-anak muda dan tokoh-tokoh institusi perbankan dan lain-lain yang memberikan idea, bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi PTPTN seperti kutipan balik bayaran.

Beliau berkata 10 topik besar ini akan dipersembahkan kepada rakyat, setelah mendapat kelulusan daripada Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan Menteri Belia dan Sukan.

"Meskipun terdapat idea-idea yang tidak sesuai di hati saya, namun ia adalah amanah yang diberikan oleh mereka (pemegang taruh) untuk dipersembahkan kepada rakyat. Rakyat sendiri akan menilai, manakah yang terbaik untuk masa hadapan," katanya.

Wan Saiful berkata rakyat akan diberi tempoh tiga minggu apabila kertas itu diberi kelulusan dan satu pelan perniagaan baharu PTPTN akan diwujudkan.

Beliau turut memberi bayangan pengenalan semula senarai hitam perjalanan dan potongan gaji dicadangkan dalam kertas yang akan dibentangkan itu.

-- BERNAMA