Kertas Putih Pertahanan akan dibentang sebelum tamat sesi Penggal Kedua Parlimen Ke-14 kali ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pembentangan itu termasuk perancangan kementerian, peralatan ketenteraan serta pembabitan yang boleh dilakukan rakyat negara ini dalam memperkasakan pertahanan negara.

Selain itu, beliau berkata, Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) 2055 atau dikenali sebagai CAP55 (Capability Development 55) pula tambah baik dari pelan kerajaan terdahulu.

“Memang CAP55 adalah perancangan kerajaan terdahulu, mana yang baik kita teruskan dan kita baiki.

"Kita lihat kepada pemodenan baharu, misalnya kita pentingkan soal radar, UAV, dron. Ini semua teknologi baharu dalam mempertahankan negara

“Maka tumpuan kertas putih akan pergi ke arah itu kerana jet-jet mahal itu perlu namun kadang-kadang dron lebih murah dan boleh buat kerja seimbang dengan jet-jet itu,” kata Mohamad menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang bertanya bila Kertas Putih Pertahanan akan dibentangkan.

Selain itu, Mohamad berkata, TUDM akan terus mengekalkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan Su-30MKM untuk tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13.

Bagaimanapun, jelasnya, keperluan terkini adalah perolehan Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial Vehicle (MALE UAV) serta keupayaan tempur ringan dan latihan juruterbang melalui perolehan Light Combat Aircraft (LCA) bagi menambah baik keupayaan dan kesiapsiagaan TUDM.

Mohamad berkata demikian sebagai menjawab soalan asal Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai kesediaan kerajaan menerima tawaran kerajaan Rusia untuk mengambil balik 28 jet pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29 milik TUDM yang bermasalah jika Malaysia sedia menggantikannya dengan pesawat baharu buatan negara itu.