Kertas siasatan kes bayi perempuan berusia 11 bulan yang maut akibat didera secara fizikal dan seksual pada Jumaat lepas telah diserahkan pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya telah melengkapkan siasatan dan kini menunggu arahan pihak DPP untuk tindakan lanjut.

Lelaki berusia 36 tahun yang juga suami kepada pengasuh bayi itu masih direman sehingga Isnin depan (19 Nov) untuk bantu siasatan, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini, hari ini..

Media sebelum ini melaporkan bayi perempuan berkenaan meninggal dunia pada kira-kira 10.30 pagi Jumaat, selepas dua hari dilaporkan kritikal di Hospital Serdang.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan 'impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala', dengan tempurung kepala bayi pecah.

Pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati ada kesan koyakan baharu pada selaput dara mangsa dan dubur mangsa juga mengalami koyakan.

Ditanya adakah pihak polis menerima maklumat bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan yang menerima ugutan bunuh tiga bulan sebelum dibunuh, Mazlan berkata pihaknya tidak menerima maklumat berhubung perkara itu.

"Kami tiada maklumat mengenai ugutan bunuh itu dan jika ada polis perlu kesan sama ada betul atau tidak (ugutan bunuh) itu," katanya sambil menambah polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat kedua.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu dan kematiannya diklasifikasikan sebagai kes bunuh kemudian.

Pada majlis itu, Supt Shafa'aton Abu Bakar dilantik Ketua Polis Daerah Sungai Buloh menggantikan Supt S. Somu yang bertukar ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Kuala Lumpur.