Tutup

Kertas siasatan kematian Syed Muhammad Danial diserah kepada TPR

Kertas siasatan kematian Syed Muhammad Danial diserah kepada TPR
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya kini hanya menunggu arahan daripada TPR untuk tindakan selanjutnya. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes membabitkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya kini hanya menunggu arahan daripada TPR untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya, buat masa ini pihak polis masih mengekalkan siasatan di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh, kemudian TPR akan menilai sama ada akan mengekalkan seksyen sama dalam pertuduhan atau sebaliknya.
“Kertas siasatan kita sudah hantar pada Timbalan Pendakwa Raya jadi kita tunggulah apa arahan yang kita akan terima.

“Kita tidak tahu berapa lama tempoh yang diperlukan TPR untuk memutuskan bila tertuduh akan didakwa di mahkamah kerana TPR perlu mengkaji terlebih dulu kes itu sebelum mengeluarkan apa-apa arahan,” katanya.

BACA: Maut akibat bergelut gara-gara selisih faham selepas kemalangan
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani nota kerjasama antara polis kontinjen Selangor dengan Pick N Go Sdn Bhd di Mers Pegawai Kanan, Shah Alam hari ini.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari 10 Ogos lalu, Syed Muhammad Danial, 29, maut selepas berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki dalam kemalangan kecil di kilometer 293.5 Lebuhraya Utara-Selatan.

Dilaporkan kereta Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar-mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, berlaku pergaduhan antara suspek sebelum mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Katanya, suspek yang kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa dan terlanggar Syed Muhammad Danial.

Tag: Syed Muhammad Danial Syed Syakir, kemalangan, mahkamah, polis, lelaki, siasatan, suspek


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.