Tutup

Kerugian FGV punca resolusi bayaran yuran pengarah ditolak

Kerugian FGV punca resolusi bayaran yuran pengarah ditolak
Ahli Lembaga Pengarah Felda telah membuat penelitian sewajarnya ke atas resolusi yang dibentangkan. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan menolak tiga resolusi berhubung pembayaran yuran serta manfaat pengarah FGV Holdings Bhd (FGV) dibuat berikutan prestasi syarikat itu yang mengalami kerugian RM1.08 juta pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, Ahli Lembaga Pengarah Felda telah membuat penelitian sewajarnya ke atas resolusi yang dibentangkan dan bersetuju menolak kesemua resolusi membabitkan pembayaran yuran dan manfaat kepada ahli lembaga syarikat itu.
"Lembaga Pengarah Felda juga berpandangan bahawa yuran dan manfaat pengerusinya adalah antara yang tertinggi berbanding syarikat perladangan lain yang tersenarai.

"Melangkah ke hadapan Felda dan FGV akan terus mengadakan perbincangan dan libat urus untuk menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat, kerajaan yakin ia dapat diselesaikan dengan baik dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Datuk Hanafi Mamat yang ingin tahu punca sebenar cadangan pembayaran itu tidak diluluskan.

Pada 25 Jun lepas, pemegang saham utama FGV - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan 33.7 peratus; Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) (5.0 peratus), dan LTAT (1.25 peratus), telah menolak tiga resolusi berkaitan bayaran yuran pengarah pada mesyuarat agung tahunan (AGM) kumpulan itu.

Resolusi itu bertujuan mendapatkan kelulusan berhubung pembayaran yuran pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018, bayaran yuran pengarah bagi tarikh 26 Jun 2019 sehingga AGM seterusnya dan bayaran manfaat yang boleh dibuat bagi tempoh 26 Jun 2019 sehingga AGM berikutnya. - BERNAMA

Tag: Kerugian FGV, punca resolusi, bayaran yuran pengarah ditolak, FGV Holdings Bhd, FGV, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Felda


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.