Tiada saman akan dikenakan sekurang-kurangnya untuk enam bulan pertama bagi penguatkuasaan pengunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System atau CRS) yang diwajibkan pada 1 Januari tahun hadapan.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kementeriannya terlebih dahulu akan melaksanakan pendekatan berbentuk amaran, nasihat dan mendidik para ibu bapa khusus untuk menyedarkan kepentingan kerusi keselamatan tersebut.

Ujarnya, pendekatan itu dilaksanakan setelah mengambil kira kadar pelanggaran yang membabitkan kematian kanak-kanak sebelum ini.

"Sekurang-kurangnya untuk enam bulan pertama ini memberikan waktu pendekatan yang menyedarkan ibu bapa khususnya betapa pentingnya (kerusi keselamatan kanak-kanak).

"Advokasi maknanya amaran, teguran, nasihat dan juga kempen-kempen melalui dalam televisyen, radio dan sebagainya termasuk poster di jalan raya.

"Setakat ini, untuk enam bulan pertama belum lagi akan dikenakan saman," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Konvokesyen Akademi KTM 2019 di sini pada Rabu.

Kamaruddin berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan tentang kemungkinan saman terhadap ibu bapa yang tidak mematuhi penguatkuasaan pengunaan kerusi keselamatan kanak-kanak bermula 1 Januari 2020.

Beliau menambah, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kewangan telah berusaha untuk memastikan harga kerusi itu serendah mungkin, dan mampu dimiliki oleh keluarga yang terbabit.

"Kita telah pun berusaha melalui Kementerian Kewangan untuk mengurangkan cukai, jadi cukai SST sudah pun dikurangkan dan duti import, kerana kebanyakan daripada kerusi kanak-kanak ini diimport telah pun disifarkan," katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan, Kerajaan mewajibkan penggunaan CRS dalam kereta bermula 1 Januari tahun depan bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.