Keterangan saksi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang menggambarkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low adalah 'pengarah bayangan' syarikat itu membuktikan bukannya Datuk Seri Najib Razak yang bertindak sebagai 'pengarah bayangan' seperti yang didakwa.

Justeru, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu berkata, perkara itu jelas bertentangan dengan kes yang dikemukakan pihak pendakwaan bahawa Najib bertindak sebagai 'pengarah bayangan' kepada syarikat pelaburan strategik negara itu.

Muhammad Shafee ketika menyoal balas saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, keterangan yang dibuat menunjukkan semua tindakan saksi adalah berdasarkan arahan Jho Low dan tidak memberikan penjelasan kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Terdahulu, Shahrol Azral ketika menjawab soalan Muhammad Shafee menjelaskan, beliau tidak terbabit dalam proses membuat keputusan berkaitan transaksi pelaburan, sebaliknya menyerahkan kepada peguam 1MDB, Jasmine Loo dan Jho Low.

Katanya, beliau bertindak atas arahan dan pelan tindakan yang diberikan oleh Jho Low kerana beliau (saksi) percaya arahan itu adalah daripada Najib yang juga Perdana Menteri ketika itu.

Saksi yang berusia 50 tahun itu menjelaskan, beliau percaya Jho Low bertindak atas arahan pemegang saham.

Ditanya sama ada beliau meminta penjelasan daripada Najib mengenai arahan Jho Low, saksi menjawab, 'tidak'.

Menjawab soalan Muhammad Shafee berkaitan penukaran saham 1MDB kepada nota jaminan Murabahah bagi usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI), Shahrol Azral berkata, pihaknya tidak mempunyai masa untuk memanggil Mesyuarat Lembaga Pengarah bagi memaklumkan perkara itu.

Katanya, pada masa sama Jho Low dan Jasmine dalam keadaan 'terburu-buru' untuk melaksanakan penukaran nota jaminan itu.

Muhammad Shafee bagaimanapun mencadangkan, alasan utama penukaran itu dilaksanakan tergesa-gesa ialah kerana perlu dilakukan sebelum tahun kewangan berakhir bagi penstrukturan semula, jika tidak saksi perlu memberikan justifikasi mengenai nilai nota berkenaan.

Ditanya peguam, siapakah individu di sebalik pelaksanaan penukaran nota jaminan itu, Shahrol Azral menjawab, "Jho Low".

Saksi itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa ia bukan perancangan Najib, sebaliknya ia tindakan Jho Low yang mengelirukan Lembaga Pengarah di mana beliau (saksi) mengetahui perkara itu dan adalah sebahagian daripada perancangan itu.

Muhammad Shafee: Anda sekarang berpuas hati bahawa ini mekanisme untuk menipu Lembaga Pengarah untuk mempercayai pelaburan mereka masih bagus? Shahrol Azral: 'Di sebaliknya', ya.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan bahawa jika seluruh Lembaga Pengarah 1MDB dapat diperdayakan, maka perkara yang sama mungkin berlaku kepada Najib. Bolehkah perdana menteri atau Menteri Kewangan berada dalam kedudukan yang lebih bijak daripada Dewan?

Shahrol Azral: Saya tidak dapat memberi komen kerana saya tidak tahu sama ada perdana menteri atau Menteri Kewangan mempunyai maklumat pada masa itu.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.