Seorang lagi individu berpangkat "Datuk" ditahan reman empat hari mulai Sabtu bagi membantu siasatan berhubung akaun syarikat SRC International Sdn Bhd, sebuah entiti yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan dan pembangunan yang berusia 48 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 10.30 pagi Sabtu di sini lengkap dengan pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Individu tersebut yang merupakan suspek keempat ditahan untuk membantu siasatan pasukan petugas khas berhubung dakwaan menyalurkan dana ke akaun 1MDB.

Timbalan Pendakwa Raya Awam SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairy memohon perintah reman sehingga tujuh hari tetapi Magistret Nik Isfahanie Tasmin Wan Ab.Rahman hanya membenarkan reman empat hari untuk proses soal siasat dijalankan.

Menurut jurucakap agensi tersebut, individu bergelar 'Datuk' ditahan kira-kira jam 7 petang selepas beliau dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu di mahkamah sama, individu kedua yang ditahan reman Rabu lalu yang merupakan seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan berpangkat 'Datuk' telah dibebaskan dengan jaminan.

Majistret Nik Isfahanie Tasmin telah menetapkan wang jaminan RM100,000 dengan dua penjamin.

Isnin lalu, pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan aliran wang tunai ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat tangkapan yang pertama.

Individu berkenaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sebelum menaiki penerbangan ke Taiwan. Beliau yang merupakan seorang pengarah eksekutif sebuah syarikat pembinaan telah dibebaskan pada Jumaat dengan jumlah jaminan RM100,00 dan dua penjamin.