Polis akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan sebuah pasukan kajian semula bagi meneliti keterangan saksi termasuk dua pakar perunding kanan patalogi berhubung kes kematian arwah Muhammad Adib Mohd Kassim, dua tahun lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia adalah berikutan keterangan saksi yang diambil selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian arwah adalah akibat perbuatan jenayah.

"Namun selepas pihak polis mengambil keterangan termasuk dua anggota bomba yang berada paling dekat dengan arwah, mereka konsisten mengatakan tidak nampak arwah ditarik keluar atau dipukul.

"Sementara itu dua pakar perunding patalogi juga memberikan dua teori yang berbeza," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan terkini isu keselamatan negara di sini, pada Jumaat.

Ekoran itu, Abdul Hamid memberitahu, polis telah memanggil seorang pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) yang sebelum ini mendedahkan arwah ada memberi deklarasi kematian.

Sedangkan katanya, IJN sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang arwah tidak dapat berkomunikasi secara efektif sepanjang menerima rawatan di situ.

"Kami masih mencari seorang saksi yang boleh menyakinkan bahawa dia nampak arwah ditarik dan pukul oleh orang ramai. Seorang pun tak ada.

"Di mana saya nak cari? Ada rakaman tapi kabur. Cuma ada satu rakaman yang mengambarkan keadaan kelam-kabut dan kelihatan sebuah kenderaan berundur melanggar sebuah van," ujarnya.

Dalam kejadian awal pagi 27 November 2018, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.