Polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui motif sebenar kejadian seorang lelaki menetak dua rakan sekerjanya, sehingga seorang daripada mereka maut, dalam kejadian di sebuah kilang di Bayan Lepas petang semalam.

Sambil mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T Narenasagaran berkata, ketika ini, pihak polis sedang mengumpul maklumat dari pihak berkaitan.

Mereka yang telah diambil keterangan setakat ini ialah keluarga lelaki itu, teman serumahnya serta rakan sekerjanya, tambahnya.

"Ada pelbagai andaian serta spekulasi mengenai kejadian itu.

"Jadi, saya minta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak benar atau tidak sahih, yang tidak mendapat pengesahan daripada polis, kerana (ia) akan mengganggu siasatan," kata Narenasegaran.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Seminar Keselamatan Antarabangsa ke-5, di sini, hari ini.

BACA: Polis tembak mati lelaki amuk, bunuh rakan sekerja wanita

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang Isnin, seorang lelaki berusia 25 tahun yang bekerja di kilang itu maut ditembak polis selepas mengamuk serta menetak penyelia wanita dan pengarah keselamatan menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan semalam memaklumkan, penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan, terutama kepala.

Narenasagaran berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki itu masuk ke kawasan kilang dan meluru ke arah penyelia wanita berkenaan sebelum menetak mangsa secara bertalu-talu di bahagian kepala serta tangan.

Manakala seorang lagi mangsa, pengurus keselamatan berusia 53 tahun yang mendapat maklumat berhubung kejadian, cuba membantu penyelia wanita itu namun turut ditetak di tangannya.

Dia masih dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas dan dilaporkan stabil.