Malaysia mencatatkan jumlah kes baharu COVID-19 paling rendah sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila hanya dua kes dilaporkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan satu kes penularan dalam negara melibatkan warga asing.

"Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini juga tiada kes penularan dalam negara dicatatkan dalam kalangan warganegara Malaysia.

"Satu kes penularan dalam negara yang dicatatkan adalah bukan warganegara di mana kes ini dilaporkan di Kuching, Sarawak iaitu kes saringan kepada kontak rapat kes 8,303," katanya dalam sidang media harian di sini pada Rabu.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,206 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Pada masa sama, 39 kes pulih dan dibenarkan discaj.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,014 kes (84.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes), " ujarnya lagi.

Negara bagaimanapun mencatatkan satu lagi kes kematian baharu akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah 118 kes.

"Kes kematian ke-118 (kes ke-824) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit buah pinggang. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

"Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 Jun 2020 jam 7.03 pagi," tambahnya.

Sehingga kini, sebanyak lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.