Buat kali pertama, angka kes baharu COVID-19 jatuh kepada satu digit berbanding dua digit semalam, apabila hanya tujuh kes baharu dicatatkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, ia melibatkan dua kes import dari luar negara dan lima kes penularan tempatan melibatkan warganegara Malaysia.

"Sehingga 8 Jun 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat tujuh kes baharu yang telah dilaporkan. Ini merupakan jumlah kes terendah yang pernah dicatatkan setakat ini. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,329 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan
COVID-19 adalah 1,518 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.



Lima kes penularan dalam negara d kalangan warganegara ialah dua kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8294) di Sepang, Selangor, satu kes saringan tempat kerja dari Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, Sabah dan satu kes saringan komuniti di Kota Kinabalu, Sabah.

Pada masa sama, 20 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,694 kes (80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, sebanyak enam (6) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 117 kes (1.4 peratus
daripada jumlah keseluruhan kes).