Kes baharu COVID-19 kembali ke angka dua angka berbanding satu angka semalam.

Ketua pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 13 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 9,083 kes.

Katanya ia melibatkan sembilan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu lima warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

Selain itu, katanya empat lagi adalah kes penularan di dalam negara membabitkan warganegara Malaysia.

"Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah tiga kes di Pulau Pinang melibatkan dua kes daripada Kluster PUI Sivagangga dan satu kes daripada Kluster Kurau.

"Satu kes di Wilayah Persekutuan Putrajaya daripada Kluster Meranti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, sembilan kes import adalah dari China (dua kes di Kuala Lumpur), India (dua kes di Kuala Lumpur), Jepun (dua kes: satu kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor), Ireland (satu kes di Kuala Lumpur), Indonesia (satu kes di Kuala Lumpur) dan Yaman (satu kes di Sarawak).

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 174 kes.

Dalam pada itu, katanya sembilan kes pulih direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 8,784 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Pada masa sama, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 125 kes (1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya, sehingga kini, terdapat satu kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.