Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata lelaki berusia 26 tahun itu dipercayai teman lelaki kepada suspek wanita warga Indonesia yang ditahan pagi tadi berhubung kes itu.

Lelaki itu ditahan di sekitar Ampang, pada 6 petang semalam.

"Kami tahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes itu, penahanan itu bagi membantu mengesan wanita Indonesia berkenaan, yang akhirnya (wanita Indonesia itu) berjaya ditahan awal pagi tadi," katanya kepada Bernama.

BACA: Indonesia tidak masuk campur siasatan terhadap rakyatnya - Polis Indonesia

BACA:
Kedutaan Indonesia ingin berjumpa Siti Aishah untuk sahkan identitinya

Awal hari ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu kenyataan, berkata wanita bernama Siti Aishah dan dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Feb 1992 ditahan. Dia memegang pasport Indonesia.

Ia adalah wanita kedua ditangkap bersabit kematian Jong-nam susulan penahanan wanita dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, yang memegang pasport Vietnam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8.20 pagi semalam.

Pada Isnin lepas, Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila seorang wanita dikatakan menghampiri mangsa sebelum menyerkup kepalanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam yang hidup terasing daripada adiknya itu dan menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Selepas penahanan dua suspek wanita itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata lebih banyak tangkapan dijangkakan.

Difahamkan, polis sedang memburu empat lagi lelaki bagi membantu siasatan kes itu.

-- BERNAMA