TAPAH:Isteri dan anak kepada mekanik yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan empat individu di bengkel kenderaan di Jalan Pahang di sini, dibebaskan tanpa syarat.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Goh Kok Liang berkata wanita berumur 54 tahun dan anaknya berumur 17 tahun dibebaskan hari ini setelah siasatan yang dilakukan sehingga kini mendapati mereka tiada kaitan dengan kes pembunuhan kejam itu.
   
"Selepas kami merujuk kertas siasatan kepada Ketua Unit Pendakwaan, kami dinasihatkan untuk membebaskan isteri dan anak kurang upaya suspek utama kerana tiada bukti mencukupi terhadap mereka. 

Pihak polis masih memerlukan siasatan lanjut ke atas suspek utama dan anak lelaki sulungnya.  Maka kami akan memohon lanjutan tahanan reman mereka," kata beliau.
   
Sekiranya terdapat bukti baharu kes pembunuhan yang berkaitan dengan wanita itu dan anaknya, polis akan memanggil mereka untuk membantu siasatan, katanya.

Beliau turut berkata keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga mangsa telah diperoleh pada Isnin lepas dan polis sedang menjalankan siasatan, katanya.
   
Goh berkata hak penjagaan anak perempuan suspek utama, masing-masing berumur 11 tahun dan 23 tahun yang sebelum ini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat hari, diserahkan kepada ibu mereka hari ini.

BACA: Dua anak suspek kes bunuh Tapah diletakkan di bawah perlindungan JKM
   
"Oleh kerana ibu telah dibebaskan, anak perempuannya diserahkan semula kepada ibu mereka dan tidak perlu berada di bawah jagaan rumah kebajikan itu lagi," katanya.
   
Sementara itu, Mahkamah Majistret Tapah hari ini melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari terhadap suspek utama berumur 57 tahun dan anaknya berumur 20 tahun dalam kes pembunuhan empat individu di bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini.
   
Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurul Nadia Abdul Razak yang bermula hari ini dan berakhir 8 Disember.
   
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 26 Oktober lepas, polis menahan keempat-empat suspek di sebuah rumah di kawasan bengkel kenderaan di Jalan Pahang, Tapah pada pukul 1.30 tengah hari, susulan laporan kehilangan mangsa lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dekat sini pada 25 Ogos lepas.