Perbicaraan kes dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak masuk hari ke-65.

Najib ketika dalam soal balas Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram, menyatakan beliau tidak bertanyakan jumlah baki dalam akaun peribadi Ambank miliknya setiap kali menandatangani cek.

Malah Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau merasakan jumlah wang dalam akaun Ambank miliknya mencukupi serta tidak mengetahui jumlah wang keluar dan masuk menerusi akaunnya itu.

Menjawab soalan balas, Najib juga berkata, jumlah pengeluaran cek yang ditandatanganinya tidak terlalu besar untuk semakan berulang kali dibuat.

Jika ada keperluan jelasnya, beliau akan menyemak dengan bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Sekiranya di rumah, beliau tidak bertanyakan sesiapa mengenai akaun miliknya itu.

V Sithambaram kemudiannya mempersoal bagaimana Najib mengeluarkan cek dalam akaunnya berjumlah RM2.5 juta ketika berada di rumah.

Najib menjawab walaupun jumlah cek yang dikeluarkan bernilai jutaan ringgi itu, namun beliau merasakan ada wang yang mencukupi dalam tiga akaun miliknya.

Bagaimanapun, menjawab sama ada sumber kewangan dalam akaun Ambank itu adalah daripada dana negara Arab.

Najib mengesahkan perkara itu betul.

Timbalan Pendakwa Raya: "Adakah kamu tahu terdapat dana lain masuk ke dalam akaun kamu?"

Najib: "Sehingga ia menjadi isu..."

Timbalan Pendakwa Raya: "Adakah dana dalam akaun itu adalah disebabkan adanya kemasukan?."

Najib: "Ya."

Timbalan Pendakwa Raya: "Dalam kes kamu... kamu tidak tahu kemasukan dana lain selain dana Arab?

Najib: "Betul."

Timbalan Pendakwa Raya kemudiannya mempertikai bagaimana sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak pernah mengetahui akaun kewangan miliknya.

Najib menjelaskan kepada mahkamah bahawa perkara itu perlu ditanyakan kepada setiausaha peribadinya yang menguruskan akaunnya itu.

Soal Balas sekali lagi panas apabila Timbalan Pendakwa Raya menjelaskan bahawa jawapan Najib bercanggah dengan pernyataan saksi dan ketika pemeriksaan balas Peguam Negara Tommy Thomas sama ada beliau menandatangani minit mesyuarat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk membolehkan pindaan ke atas memorandum dan artikel persatuan (M&A) 1MDB.

Jelas V Sithambaram, dalam pernyataan bertulis Najib menyatakan tidak dapat memastikan sama ada beliau menandatangani pindaan terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya: "Bila disoal sebelum ini oleh Peguam Negara, kamu berkata tidak pernah menandatangani Minit Pemegang Saham?"

Najib: "Ya, tetapi ini bukan salinan asal, saya tidak dokumen pemegang saham lain."

Timbalan Pendakwa Raya: "Kamu mengaku hanya tandatangan Minit Mesyuarat ini?"

Najib: "Ya, kecuali kamu tunjukkan dokumen asal, ini tertakluk kepada dokumen asal."

Timbalan Pendakwa Raya Sithambaram: "Tetapi kamu sahkan di mahkamah, ini adalah dokumen salinan yang kamu tandatangan?"

Najib: "Ya, jika kamu tunjukkan saya yang asal."

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pendakwaan ditangguhkan hari ini berikutan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak sihat.

Hakim kemudiannya menetapkan perbicaraan untuk disambung semula 6 Januari depan.