Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatat penurunan 86.05 peratus dengan 205 kes direkodkan bagi tempoh awal Januari hingga 15 Feb lepas, berbanding tempoh sama pada tahun lepas yang mencatatkan 1,470 kes.

Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam kenyataan pada Rabu menyatakan dalam tempoh tersebut, hanya satu kematian akibat denggi dilaporkan berbanding lima kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Bagi minggu ketujuh tahun ini iaitu 9 Feb hingga 15 Feb, sebanyak 23 kes denggi telah dilaporkan, berbanding 31 kes pada minggu keenam (2 Feb hingga 8 Feb) iaitu penurunan lapan kes atau 25.81 peratus," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan terdapat satu lokaliti wabak terkawal dilaporkan iaitu di Jalan Paya Terubong, daerah Timur Laut.

Menurut kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit badan atau sendi, mengalami muntah, ruam pada kulit dan kurang selera makan.

"JKNPP mengingatkan masyarakat untuk terus mengambil langkah-langkah segera bagi menghentikan penularan penyakit denggi dengan melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar masing-masing bagi mengenal pasti dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA