Kes demam denggi di negeri Kelantan mencatat peningkatan lebih tiga kali ganda dalam tempoh 10 minggu pertama tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Zaini Hussin berkata, terdapat 886 kes dengan dua kematian telah dicatatkan iaitu peningkatan sebanyak 322 peratus berbanding 210 kes dengan tiada kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Jumlah tersebut dijangka terus meningkat sepanjang musim cuti persekolahan ini berdasarkan data dan pengalaman sebelum ini.

“Kalau melihat pada angka ni, perlu diambil perhatian serius oleh masyarakat negeri Kelantan dan semasa cuti panjang ini, akan berlaku peningkatan kes di Kelantan,” ujar beliau.

Dr Zaini berkata, kesemua daerah di negeri itu menunjukkan peningkatan kes demam denggi termasuk Pasir Puteh dengan Gua Musang yang mencatat peratus peningkatan tertinggi 800 peratus dengan 16 kes; Tumpat 150 kes (714 peratus); Jeli 24 kes (600 peratus); Kota Bharu 330 kes (359 peratus); Pasir Mas 29 kes (290 peratus); Bachok 51 kes (244 peratus); Tanah Merah 51 kes (243 peratus); Kuala Krai 15 kes (167 peratus) dan Machang tiga kes (75 peratus).