Jumlah kumulatif kes denggi di Perak meningkat 17.9 peratus sehingga 28 Disember 2019, berbanding tempoh sama tahun 2018.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional, A. Sivanesan berkata, sehingga 28 Disember tahun lalu, sebanyak 3,226 kes denggi dilaporkan, meningkat 490 kes berbanding 2,736 kes tempoh yang sama 2018.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama juga terdapat empat kes kematian denggi yang dilaporkan, berbanding lima kes kematian untuk tempoh yang sama pada tahun 2018.

Katanya, daerah Kinta menjadi kawasan titik panas bagi kes wabak denggi dengan laporan kumulatif kes sebanyak 28 kes bermula dari penghujung tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, trend denggi telah berubah dari bandar ke separuh bandar dan luar bandar kerana terdapat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak bertanggungjawab mengutip sampah di kawasan kampung dan sekitarnya.

“Masalah yang berlaku bukan sahaja masalah di negeri ini sahaja tetapi di seluruh negara di mana kawasan kampung tidak mempunyai kawasan pembuangan sampah yang betul.

“Kerajaan telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk membendung wabak ini daripada berlarutan malahan maklumbalas dan kerjasama dari orang ramai sangat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pencegahan Kawasan Penyakit Berjangkit Untuk Taska dan Tadika di Dearah Kinta, di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), hari ini.

Sementara itu menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri, kawasan titik panas bagi wabak chikungunya pula adalah di daerah Larut Matang dan Selama dengan catatan sebanyak 41 kes.