Berikutan kes bunuh Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan tertuduh Muidin Maidin membela diri.

keputusan itu diputuskan oleh Hakim Datuk Abdul Halim Aman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes Prima Facie.

Abdul Halim berkata keputusan dibuat hasil 131 barang bukti dan keterangan 35 saksi.

Katanya, penemuan dua kesan DNA tertuduh di bahagian kemaluan dan dubur mangsa turut menguatkan lagi kes tersebut.

Dua orang saksi tampil pada Khamis untuk memberi keterangan, dan saksi ketiga diarahkan hadir 13 Jun ini.

Beliau turut menetapkan tarikh penghujahan akhir pembelaan 14 Jun.

Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012 ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Mangsa yang dibakar ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Bandar Setia Alam pada 8 Mac, 2012.